Iman adalah nikmat yang paling berharga kurniaan Allah SWT dan menjadi penentu kebahagiaan hidup di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Tanpa iman segala amalan kita semasa di dunia menjadi sia-sia dan berakhir dengan balasan seksa. Oleh kerana pentingnya iman dalam diri umat Islam, maka Allah SWT menurunkan wahyu kepada Nabi SAW di Mekah selama 13 tahun yang menyentuh persoalan iman sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur'an.
Namun kini, umat Islam semakin terhimpit dengan permasalahan iman dan paling besar ialah ancaman terhadap akidah mereka. Apa yang menyedihkan kita ialah kes murtad, maksiat dan lain-lain kes kekufuran terus berulang dan berterusan. Persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku?. Kita jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:
Maksudnya: "Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata".
Akhbar atau media pernah melaporkan bahawa terdapat remaja Islam bertudung terlibat dengan seks bebas dan menjadi ahli kumpulan nyanyian di rumah ibadat bukan Islam. Semua ini jelas memperlihatkan betapa akidah umat hari ini semakin rosak akibat ceteknya pengetahuan agama dan kerapuhan benteng iman. Apa yang sangat mendukacitakan kita lagi ialah keterlibatan segelintir masyarakat dalam sambutan sempena Hari Kekasih atau Valentine's Day yang berlaku sejak sekian lama. Ini adalah sebahagian contoh yang amat membimbangkan kita kerana ia meyimpang dari ajaran Islam dan melahirkan lebih banyak gejala sosial seperti perzinaan, rogol dan sebagainya.
Mimbar ingin menegaskan bahawa sambutan Hari Kekasih bagi orang Islam adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan telah difatwakan haram oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-71 yang diadakan pada 22-24 November 2005. Ini samalah dengan kedudukan pengharaman senaman Yoga yang dibuat akhir tahun lalu. Apa yang nyata, sambutan Hari Kekasih ini bukan amalan yang disuruh oleh Nabi SAW, para sahabat, tabiin atau golongan solihin.
Umat Islam perlu sensitif dan bertindak bijak dalam menangani tindakan segelintir masyarakat kita yang menjadikan hukum Allah SWT sebagai bahan provokasi atau bahan eksploitasi di pentas syarahan dan dada-dada media untuk mendapat keuntungan dunia. Sebagai mukmin, kita bertanggungjawab memelihara, mempromosi dan mempertahankan setiap inci ajaran agama suci ini. Perlu disedari bahawa sikap tidak peduli umat Islam bukan sahaja akan merosakan diri sendiri, malah dari segi dakwah khususnya amat merugikan Islam.
Islam sangat mengambilberat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur mereka tentang sesuatu perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut contoh umat jahiliyah dahulu yang menganggap bahawa iman sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik sahaja sedangkan hakikat iman ialah paduan antara keyakinan dihati tentang dasar-dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan tegahan-Nya. Ini bermakna kepercayaan tanpa diikuti dengan amal ibadah, atau tanpa meninggalkan maksiat, maka belum dikira sempurna iman.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15:
Maksudnya: " Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.".
Ayat ini mengisyaratkan bahawa kualiti iman boleh diukur dan dinilai melalui amalan seharian. Banyak dan berkualitinya amal soleh seseorang itu, maka tinggilah kualiti iman yang dimiliki dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, iman yang sebenar adalah merupakan penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih sayang di antara umatnya, tetapi hendaklah melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak. Cinta yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya. Cinta berlandaskan iman akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat.
Oleh yang demikian, mimbar menyeru semua pihak, marilah sama-sama kita memperkasakan akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah berikut:
Pertama: ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik dengan akidah yang benar dan dihayati;
Kedua: umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau budaya kaum musyrik;
Ketiga: menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya;
Keempat: menjauhi aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang bukan mahram dalam menyambut majlis tertentu; dan
Kelima: meninggalkan sambutan atau perayaan yang tiada dalam syariat Islam.
Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96:
Maksudnya: "Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."